Kerajaan negeri akan memberikan lesen perniagaan kepada 60 penjaja yang telah 20 tahun berniaga di Taman Chi Liung.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berkata permasalahan ini akan diatasi dengan penubuhan jawatankuasa khas penjaja di taman tersebut dalam masa terdekat.
“Oleh itu, kita telah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelesaikan masalah ini. Jawatankuasa ini ada tujuh orang,” katanya.
Sebelum ini Majlis Perbandaran Klang telah membuat bancian di situ dan telah mengenal pasti penjaja yang boleh menjalankan perniagaan mereka di taman tersebut.
Dijangkakan penjaja pasar pagi tersebut akan menerima lesen perniagaan mereka pada akhir bulan Januari ini.
Penjaja perlu membayar sebanyak empat ringgit sehari dan tiga ringgit daripadanya akan diserahkan kepada persatuan penjaja bagi membayar khidmat pemungutan sampah dan lain-lain perkhidmatan difikirkan perlu di situ.
“Keadaan sekarang ini tidak berapa elok dengan kesesakan jalanraya, masalah pembersihan, ada yang menjaja tidak ada lesen, jadi kerajaan sekarang hendak memberi lesen kepada semua penjaja yang beroperasi lebih daripada 10 tahun mahupun 20 tahun,” katanya.